Sunday, February 15, 2009

PERANAN WANITA

Wanita terdiri daripada hampir separuh penduduk Malaysia. Sumbangan mereka sama ada sebagai isteri, ibu serta pekerja yang mempunyai gaji, di dalam pembangunan bangsa dan negara adalah amat penting. Mereka bukan sahaja memainkan peranan utama di dalam pembentukan generasi akan datang malah melupakan sumber ekonomi yang penting.
Buat masa ini, mereka merupakan satu pertiga daripada jumlah tenaga buruh. Dari segi penyertaan buruh, penyertaan wanita meningkat dari 37.2 peratus dalam tahun 1970 kepada 46.7 peratus dalam tahun 1990. Di sektor luar bandar dan pertanian, wanita terus merupakan faktor penting. Gunatenaga wanita juga telah bertambah dengan banyaknya di dalam sektor pembuatan terutamanya dalam sektor tekstail dan elektronik. Di sektor perkhidmatan seperti perkhidmatan masyarakat, sosial, persendirian serta sektor awam, penyertaan wanita juga kian meningkat. Wanita juga telah lama memainkan peranan yang aktif di bidang politik negara. Mereka merupakan kumpulan pengundi yang kuat dan sering memainkan peranan sebagai penarik pengundi.
Kerajaan telah lama mengiktiraf sumbangan besar wanita di dalam pembangunan negara. Oleh itu kerajaan sentiasa menggalakkan penyertaan mereka dalam proses pembangunan negara dengan membuka peluang-peluang yang lebih luas bagi menceburi bidang sosial, ekonomi dan politik. Beberapa institusi telah ditubuhkan untuk mengintegrasikan wanita ke dalam aliran utama pembangunan. Majlis Penasihat Kebangsaan Mengenai Integrasi Wanita Dalam Pembangunan (NACIWID) di Jabatan Perdana Menteri telah ditubuhkan pada tahun 1976 bagi menterjemahkan pelan tindakan sedunia mengenai wanita dalam pembangunan negara.
Pada tahun 1983, Urusetia Hal Ehwal Wanita (HAWA) telah ditubuhkan untuk mengawasi dan menilai perkhidmatan-perkhidmatan yang dibekalkan oleh sektor awam dan swasta bagi faedah kaum wanita. Selain daripada bertindak sebagai pusat maklumat utama mengenai hal ehwal wanita, HAWA juga berfungsi sebagai urusetia kepada NACIWID.
Sistem penyampaian pelbagai perkhidmatan sokongan untuk wanita telah diperkukuhkan lagi melalui aktiviti organisasi-organisasi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun-pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan beberapa Lembaga Kemajuan Wilayah. Penubuhan sebuah agensi amanah bukan kerajaan iaitu Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) turut membantu mempertingkatkan penyertaan kaum wanita terutamanya di luar bandar di dalam aktiviti-aktiviti ekonomi bukan ladang.
Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain juga memainkan peranan yang penting ke arah meningkatkan penyertaan wanita dalam aktiviti-aktiviti ekonomi dan sosial.
NGO seperti Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita (NCWO), Perkumpulan Wanita (Wl), Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI), Pertubuhan Bantuan Wanita Islam dan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam serta pertubuhan-pertubuhan wanita yang lain telah menyediakan berbagai program pembangunan berbentuk jayadiri dan kemudahan-kemudahan sokongan yang lain. Rasional
Menyedari pelbagai peranan wanita dalam keluarga, masyarakat, ekonomi dan politik negara, kerajaan mengakui bahawa strategi-strategi yang khusus perlu dibentuk bagi melibatkan wanita secara berkesan dalam proses pembangunan supaya potensi wanita dapat dioptimumkan. Usaha gigih perlu diambil untuk membantu wanita melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan sosial dan ekonomi yang utama. Ini memerlukan satu dasar bagi memberi panduan serta arah haluan dalam segala usaha pembangunan supaya kepentingan dan penyertaan wanita tidak terabai dan diintegrasikan sumbangan mereka dalam proses pembangunan negara.
Menyedari hakikat inilah kerajaan telah menggubal Dasar Wanita Negara (DWN) dalam tahun 1989. Penggubalan dasar ini memperjelaskan kesungguhan kerajaan ke arah membantu penyertaan wanita dalam arus pembangunan negara dengan lebih bermakna. DWN menyediakan garis panduan bagi mengintegrasikan sumbangan wanita dalam proses pembangunan negara.
Objektif-objektif Dasar Wanita Negara ialah:
(i) untuk menjamin perkongsian yang saksama di antara lelaki dan wanita dalam pemilikan sumber dan maklumat, di samping mendapatkan peluang dan faedah dari pembangunan; dan
(ii) untuk mengintegrasikan kaum wanita ke dalam semua sektor pembangunan negara selaras dengan kemampuan dan keperluan mereka bagi tujuan meningkatkan mutu kehidupan, membasmi kemiskinan, menghapuskan kejahilan dan buta huruf serta memastikan negara berada dalam keadaan aman dan makmur.
Strategi-strategi Pelaksanaan
Bagi membantu pihak perancangan dan pelaksanaan Dasar Wanita Negara (DWN), beberapa strategi dibentuk bagi menjamin kecekapan, keberkesanan, keselarasan dan keseragaman dasar dan tindakan sperti berikut:
(a) Memperkukuhkan Unit Hal Ehwal Wanita (HAWA) Sebagai Jentera Pembangunan Negara jentera negara bagi kemajuan wanita ialah HAWA yang kini diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Sosial. Adalah wajar HAWA dipertingkatkan kuasa dan tarafnya dengan mewujudkan perhubungannya dengan setiap Kementerian, mengadakan penyelaras di setiap negeri supaya dapat bertindak dengan lebih berkesan mengenai hal ehwal wanita.
(b) Mengorientasikan Dasar dan Tindakan Agensi Kerajaan Supaya Memasukkan Proses Perancangan, Pelaksanaan dan Pengawasaan Program-program Pengintegrasian Wanita. Dalam penggubalan dasar, perundangan, peraturan dan program oleh apa juga sektor atau agensi, pertimbangan mestilah dibuat tentang sumbangan dan implikasinya terhadap wanita; impak dan kesan yang negatif terhadap wanita hendaklah diawasi. Satu sistem penyelarasan dan kawalan bagi program-program yang komprehensif hendaklah diwujudkan bagi mengelakkan kesan-kesan negatif dan juga bagi mengesani rintangan dan masalah, sama ada dari segi undang-undang, mahupun dari segi amalan, supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bagi mengatasinya. Semua program pembangunan mestilah mempunyai strategi yang menguntungkan wanita; penglibatan wanita di semua peringkat, daripada peringkat awal perancangan hingga ke peringkat penilaian, di peringkat nasional dan di peringkat tempatan hendaklah terjamin.
(c) Pendidikan dan Latihan Untuk Menyedarkan Pihak Pentadbiran Kerajaan Mengenai Isu Wanita. Bagi membangkitkan kesedaran dan komitmen institusi dan agensi kerajaan, program latihan kepekaan jantina gender sentisizing dipelbagai peringkat hendaklah diadakan. Program latihan mengenai wanita dan pembangunan hendaklah diadakan berterusan untuk kakitangan kerajaan.
(d) Penglibatan Badan-badan Bukan Kerajaan. Kerajaan hendaklah berusaha melibatkan semua organisasi bukan kerajaan dan badan-badan sukarela dalam program dan tindakan pembangunan wanita. Bantuan kewangan, teknikal, nasihat dan institusi hendaklah diperuntukkan berterusan kepada persatuan-persatuan wanita bagi menggalakkan dan mempertingkatkan perkhidmatan mereka.
(e) Membasmi Diskriminasi dan Mengambil Tindakan Tegas Langkah-langkah khusus hendaklah diambil bagi membasmi diskriminasi terhadap wanita. Kelemahan-kelemahan undang-undang bagi menjamin hak wanita hendaklah dibaiki. Tumpuan khas hendaklah dihalakan kepada kawasan-kawasan kurang maju di luar bandar, wanita yang tidak berdaya dan cacat serta wanita diberi peluang pendidikan.
(f) Memajukan dan Menyelaras Penyelidikan Mengenal Isu Wanita Menyedari hakikat bahawa kurangnya data dan maklumat mengenai kedudukan wanita sebenarnya, maka kerajaan hendaklah menggalak dan membantu penyelidikan dan kajian mengenai wanita. Di samping itu kerajaan hendaklah menentukan bahawa segala pengumpulan data dan maklumat oleh pelbagai sektor dan agensi kerajaan mengasing-asingkan butiran maklumat mengikut jantina.
(g) Peruntukan Anggaran Belanjawan Kerajaan hendaklah menentukan bahawa Kementerian-kementerian dan Agensi-agensi yang berkenaan menggunakan peruntukan yang telah diluluskan dengan mengubahsuai tindakan bagi memenuhi program dan projek pembangunan wanita.
Pelan Tindakan Mengikut Sektor
(a) Jentera Nasional Bagi Pengintegrasian Wanita Dalam Pembangunan
(i) HAWA hendaklah mempunyai hubungan yang berfungsi dengan semua Kementerian lain. Ia hendaklah bertindak sebagai pusat penyelaras, pengesan, dan pemeroses isu-isu untuk dikemukakan kepada NACIWID untuk mendapat pandangan, nasihat dan syor-syor untuk tindakan pihak kerajaan dan pihak-pihak lain yang berkenaan;
(ii) Usaha bagi memperkukuhkan HAWA hendaklah termasuk program- program latihan pegawai dan kakitangan urusetia supaya HAWA akan bertambah cekap dan dinamik; dan
(iii) Pengagihan bekalan kewangan sewajar dengan tugas dan fungsi HAWA yang lebih luas ini hendaklah ditentukan. (b) Kesihatan
(i) Mewujudkan satu dasar kesihatan negara yang mengambil kira keperluan dan taraf kesihatan kaum wanita. Konsep kesihatan yang komprehensif hendaklah meliputi aspek kesihatan jasmani, mental dan emosi;
(ii) Satu mekanisma hendaklah diwujudkan bagi memudahkan penyertaan berbilang sektor bagi menjamin penyebaran perkhidmatan kesihatan yang sama rata di semua kawasan, serta menentukan usaha yang cekap dan berkesan sejajar dengan prioriti-prioriti tempatan;
(iii) Menggalakkan perkembangan ilmu dan amalan perubatan cara moden dan tradisional;
(iv) Melaksanakan dasar yang berkesan tentang penagihan dan penggunaan dadah dengan melibatkan semua pihak dan lapisan;
(v) Mengadakan undang-undang yang dapat memberi perlindungan kepada pesakit daripada pihak-pihak yang tidak bertanggunjawab dalam memberi rawatan dan ubatan. Mangsa-mangsa rogol dan keganasan hendalah diberi perlindungan daripada publisiti yang meruntuhkan maruah dan keperibadian mereka; dan
(vi) Mengkaji undang-undang yang sedia ada, atau menggubal undang undang baru bagi melindungi wanita akan pekerjaan-pekerjaan yang membahayakan kesihatan.
(c) Pendidikan dan Latihan
(i) Menhapuskan gambaran-gambaran yang merendahkan maruah dan imej wanita;
(ii) Memudahkan penyertaan wanita dalam bidang-bidang yang diminati;
(iii) Meyakinkan wanita untuk mengambil peluang latihan bagi menceburkan diri dalam lapangan sains dan teknologi moden;
(iv) Memasukkan pendidikan kekeluargaan dalam semua kursus pendidikan dan latihan kerjaya untuk lelaki dan wanita;
(v) Menyemak dasar pengambilan dan pelaksanaan tugas institusi bagi menjamin diskriminasi terhadap wanita tidak diamalkan;
(vi) Meluaskan lagi peluang-peluang latihan vokasional untuk wanita serta mengiktiraf kemahiran-kemahiran wanita dalam bidang latihan dan pekerjaan;
(vii) Menekankan institusi pendidikan dewasa serta peluang pendidikan sepanjang hidup agar kaum wanita dapat terus mengembangkan pengetahuan dan kemahiran mereka; dan
(viii) Institusi-institusi swasta hendaklah diawasi supaya mereka tidak meneruskan diskriminasi terhadap wanita ataupun mengekalkan gambaran-gambaran yang menghinakan penyertaan wanita. Dasar Wanita Negara hendaklah meliputi semua sektor, baik kerajaan mahupun bukan kerajaan. (d) Undang-undang (i) Menyemak dan mengemaskini undang-undang yang kurang berkesan;
(ii) Melibatkan wanita dalam penggubalan pelaksanaan undang- undang;
(iii) Mengadakan biro pengaduan dan nasihat yang mudah didapati untuk wanita;
(iv) Memberi pengetahuan mengenai hak individu disisi undang- undang;
(v) Menggubal undang-undang perlindungan daripada keganasan rumahtangga, pemberhentian dan eksploitasi dalam pekerjaan dan bagi mangsa rogol dan keganasan; dan
(vi) Mewujudkan undang-undang keluarga yang saksama yang memelihara dan mempertahankan hak ibu kandung dan bagi menyelesaikan pertikaian keluarga dengan adil dan berperikemanusiaan. (e) Pekerajan
(i) Dipertingkatkan penyertaan wanita dalam bidang pekerjaan, sosial, ekonomi dan politik;
(ii) Perlu diadakan perkongsian saksama tentang manfaat pembangunan;
(iii) Perlu diperbanyakkan peluang pekerjaan, khususnya bagi wanita yang miskin dan tidak mempunyai punca pencarian nafkah hidup;
(iv) Perlu ada 'job description' bagi semua jenis pekerjaan dan penentuan gaji yang sewajamya, tanpa perbezaan jantina; (v) Perlu diadakan undang-undang perlindungan untuk semua jenis pekerjaan;
(vi) Perlu diamalkan prinsip gaji sama untuk pekerjaan yang sama; dan
(vii) Perlu dihapuskan diskriminasi terhadap wanita dalam peluang- peluang kenaikan pangkat, latihan lanjutan dan pembuatan keputusan. (f) Politik (i) Kerajaan hendaklah mengadakan perundangan dan pentadbiran untuk menentukan penglibatan wanita sepenuhnya dalam bidang politik negara, dan untuk menambahkan pengambilan, pencalonan dan penempatan wanita pada kedudukan penentuan dasar di peringkat kebangsaan, negeri dan tempatan sehingga perwakilan saksama tercapai; dan
(ii) Kerajaan hendaklah juga menentukan sokongannya terhadap kemunculan lebih ramai wanita ke peringkat perundangan dan eksekutif dalam Parlimen, Dewan Undangan Negeri, Kerajaan Tempatan dan badan-badan lain. (g) Media
(i) Meningkatkan penglibatan wanita dalam semua aspek perkembangan media seperti dasar perancangan program dan perkhidmatan, penggendalian projek-projek pembangunan;
(ii) Menjalankan analisis jantina atas semua program supaya dapat mengesan penyertaan wanita sebagai penerbit, sebagai pengguna media massa dan penerima kesan media seluruhnya;
(iii) Mengikis pendapat dan kesan-kesan negatif terhadap wanita dalam program iklan dan pendapat yang disiarkan; dan
(iv) Menggunakan pengaruh media bagi memupuk sikap dan nilai positif terhadap wanita dan sumbangannya. (h) Agama (i) Mendapatkan pandangan wanita dalam membentuk fatwa yang melibatkan wanita dan isu wanita;
(ii) Menggalakkan penyertaan wanita dalam semua aktiviti agama;
(iii) Mewujudkan perbincangan antara pelbagai agama sebagai usaha mencapai persefahaman;
(iv) Menjadikan agama sebagai asas ke arah pemodenan masyarakat berbilang kaum; dan
(v) Mewujudkan suasana perkongsian hidup yang sihat di kalangan wanita dan lelaki.
(i) Kebudayaan (i) Penyertaan wanita dalam bidang seni perlu mendapat perhatian bagi mengembangkannya;
(ii) Kemudahan dan galakan hendaklah diberi kepada wanita untuk menyertai semua kegiatan budaya dan seni;
(iii) Diskriminasi dalam bidang seni dan budaya hendaklah dihapuskan;
(iv) Penyertaan wanita dalam Majlis Perundingan Kebudayaan Kebangsaan hendaklah dipertingkatkan; dan
(v) Amalan yang melibatkan wanita secara 'tokenism' atau bagai melepaskan batuk ditangga diberhentikan.

WANITA DALAM PERTUMBUHAN EKONOMI NEGARA

Seiring dengan pembangunan yang dikecapi negara kini, tanggungjawab dan peranan wanita dalam meningkatkan sektor ekonomi negara makin berkembang. Ini dapat dilihat dengan tampilnya beberapa tokoh usahawan wanita berjaya dalam bidang perniagaan seperti Datuk Maznah Hamid, Datuk Khatijah Ahmad, Puan Rozita Ibrahim dan ramai lagi.
Perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menunjukkan bahawa didapati 47 peratus tenaga kerja di negara ini terdiri daripada golongan wanita. Kenyataan ini sekali lagi diketengahkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya baru-baru ini.
Beliau berkata, negara kini menyaksikan peningkatan 10 peratus penceburan wanita dalam kerjaya profesional, pengurusan dan teknikal sejak tahun 1990. Peningkatan ini dapat dilihat dalam sektor keusahawanan yang mencatatkan jumlah 82,911 usahawan terdiri daripada golongan wanita. Daripada jumlah ini 16 peratus daripada itu datangnya dari dalam Industri Kecil dan Sederhana(IKS).
Peningkatan yang memberangsangkan ini nyata membuktikan bahawa martabat wanita dalam sosiologi kehidupan telah banyak berubah. Peranan wanita kini tidak lagi hanya tertumpu kepada soal pengurusan keluarga sebaliknya lebih meluas dalam pembangunan negara. Apa yang dapat dilihat, wanita kini mula mendominasi bidang keusahawanan terutama dalam industri desa. Kesungguhan dan keyakinan wanita desa untuk mengusaha industri ini sedikit sebanyak meningkatkan taraf hidup dan ilmu pengetahuan wanita desa.
Justeru, bagi meningkatkan martabat wanita desa dari segi peranan dan kepentingan dalam pembangunan masyarakat, Women’s World Summit Foundation (WWSF) dan International Federation of Agricultural Producers (IFAP/FIPA) pada tahun 2000 bekerjasama mewujudkan sambutan Hari Wanita Desa Sedunia. Dengan kerjasama itu, Sambutan Hari Wanita Desa Sedunia mula disambut pada tarikh 15 Oktober setiap tahun bermula tahun 2000.